PUTRAJAYA – Beberapa laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Putrajaya akan ditutup dalam tempoh sejam lagi bermula pukul 6 petang ini bagi memudahkan pergerakan Presiden China, Xi Jinping sempena lawatan negara ke Malaysia hari ini.
Antara laluan terlibat termasuklah Lebuh KLIA, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lingkaran Putrajaya, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
Sebelum ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) memaklumkan, penutupan jalan secara penuh dan lencongan akan dilakukan selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi negara tersebut.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak polis yang bertugas.
Xi dilaporkan tiba di Malaysia pada pukul 6 petang ini atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari hingga Khamis. – KOSMO! ONLINE