fbpx

Lawatan China tiada kaitan dengan isu tarif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khalid (tengah) ketika bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kementerian Pertahanan 2025 di Dewan Seroja Kem Kementah. - Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan menegaskan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia tiada kaitan dengan isu kenaikan kadar tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, urusan lawatan delegasi berkenaan ke negara ini sudah dirangka sejak beberapa bulan lalu.

“Lawatan ini telah pun dirangka. Kita tahu dalam setiap lawatan pemimpin-pemimpin besar, dia bukan buat secara mengejut. Dia dirangka berbulan-bulan dan sebagainya.

“Pada ketika itu kita tidak menjangkakan ada isu tarif dan sebagainya. Jadi, jangan dibaca yang bukan-bukan berkenaan lawatan itu. Lawatan itu telah disusun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2025 bertempat di Dewan Seroja, Kem KEMENTAH di sini hari ini.

Selain itu katanya, lawatan delegasi China itu dibuat sebagai satu tanda pengiktirafan dan hormat China kepada Malaysia yang mengambil kepengurusian Asean.

“Jadi, ia telah dirangka beberapa bulan yang lalu. Ia tiada kaitan dengan tarif ini.

“Tetapi tentunya bila mereka hadir di sini, hal-hal yang terutamanya kesan daripada kenaikan kadar tarif itu akan menjadi perkara yang dibincangkan untuk mencari manfaat bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan Hospital medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diatur gerak ke Myanmar dalam misi bantuan kemanusiaan di negara itu yang dilanda gempa bumi pada 28 Mac lalu.

“Kita sudah bersedia. Malah kita beritahu bahawa kita bersedia untuk hantar pada 16 April iaitu esok dan kerajaan telah pun bersetuju menampung segala keperluan perbelanjaan.

“Kita hanya menunggu pihak Myanmar untuk memberikan lampu hijau di mana hospital Medan ini nak diwujudkan. Jadi, kita sudah bersedia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI