PETALING JAYA – Beberapa syarikat tempatan membatalkan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dijadualkan hari ini sebagai tanda penghormatan kepada pemergian Perdana Menteri ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Antaranya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, syarikat telekomunikasi, CelcomDigi dan bank, CIMB Bank Berhad.
Khazanah dalam kenyataannya berkata, majlis itu sepatutnya diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Ketika negara berkabung atas pemergian Tun Abdullah, kami turut berdukacita dan ingin memaklumkan bahawa Rumah Terbuka Hari Raya 2025 Khazanah telah dibatalkan.
“Doa kami mengiringi Tun Abdullah selain ucapan takziah untuk keluarga Allahyarham,” katanya.
CelcomDigi dalam kenyataannya juga berkata majlis rumah terbuka yang sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini dibatalkan.
Sementara itu, CIMB Bank Berhad berkata, Allahyarham Tun Abdullah memainkan peranan penting dalam Program Transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang secara signifikan membentuk perjalanan CIMB hari ini.
“Ketika negara meratapi kehilangan beliau, kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang Tun.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan terima kasih atas pemahaman anda semasa berkabung negara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE