KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda, Datuk Ramli Sarip hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.
Menurut Ramli, pengalaman beliau menyanyikan puisi ‘Ku Cari Damai Abadi’ nukilan Perdana Menteri kelima itu sentiasa terpahat dalam dirinya sebagai satu kenangan yang manis.
“Kenangan peribadi saya dengan arwah adalah sewaktu mempersembahkan puisi yang ditulis olehnya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Allahyarham sempat berjumpa dengan saya dan mengatakan beliau suka dengan cara saya menyanyikan puisi tersebut. Kenangan itu ‘melekat’ dengan saya sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas mengenai peribadi Allahyarham, Ramli berkata, Tun Abdullah merupakan seorang pemimpin yang baik dengan membawa pelbagai perubahan berkaitan Islam dalam negara.
Jenazah Allahyarham kini berada Dewan Solat Utama, Masjid Negara untuk penghormatan terakhir bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Seterusnya, jenazah Perdana Menteri ke-5 itu akan disembahyangkan selepas solat zuhur sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.
Terdahulu, Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 7.10 malam semalam selepas mengalami masalah pernafasan. – KOSMO! ONLINE