KUALA LUMPUR – Pelakon Datuk Aaron Aziz enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah agensi pengurusan umrah walaupun terpaksa kerugian hampir RM90,000 bagi menampung kos pembiayaan melibatkan 40 orang jemaah baru-baru ini.
Disebabkan itu, Aaron, 49, tindakan tersebut dilakukan kerana mahu memastikan wang tersebut dipulangkan semula agensi berkenaan.
“Saya tak guna perkataan tipu atau scammer tapi mungkin salah percaturan kerana umrah ini bukan perniagaan macam pakej percutian dan umrah pula melibatkan kos yang besar.
“Bukan ditipu tetapi berlaku kesilapan daripada pihak pengurusan. Jadi saya terpaksa keluarkan duit sendiri sebanyak RM90,000 untuk bayar dahulu kos pembiayaan jemaah yang terlibat yang kebanyakannya golongan berusia.
“Jadi kalau saya tak belikan tiket dulu mereka takkan akan dapat pergi umrah,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Raya Aidil-Fit-Rizz iQIYI 2025 di sini, hari ini.
Bintang KL Gangster itu sebenarnya bersimpati dengan nasib pekerja yang terlibat. Lebih melegakan, agensi umrah berkenaan juga sedang dalam proses membayar semula wang pendahuluan sebanyak RM90,000 yang dikeluarkan Aaron sebelum ini.
“Kejadian itu berlaku sebulan sebelum saya tanda tangan kontrak, nasib baik tak terjebak lebih. Kini, mereka sedang buat proses pemulangan duit sedikit demi sedikit.
“Kalau ambil tindakan, syarikat itu akan tutup dan tak akan dapat duit saya kembali.
“Malah, ramai pekerja tak bersalah akan hilang mata pencarian tapi tindakan sebegini pun tetap perlu diambil,” katanya lagi.
Ujarnya, kerjasamanya dengan agensi tersebut sudah terjalin sejak lapan tahun lalu namun tidak menyangka akan berakhir sedemikian rupa.
“Saya dengan syarikat itu sudah lama bekerjasama, lebih lapan tahun memang tiada masalah cuma kali ini saja.
“Sejak perkara itu memang saya tamatkan kerjasama, anggap kami sudah tiada jodoh lagi,” jelasnya.
Terdahulu, Aaron pada Mac lalu meluahkan kekecewaan apabila mengalami kerugian hampir RM90,000 didakwa ditipu oleh sebuah agensi pengurusan umrah.
Lebih mengecewakan, dia juga tidak menerima bayaran gaji hasil kerjasama dengan pihak berkenaan. – KOSMO! ONLINE