JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan seorang wanita bergayut pada cermin sisi kereta yang dipandu suaminya bersama kekasih gelap, lapor laman berita Sudut Sulteng hari ini.
Kejadian berlaku di Kota Palu, wilayah Sulawesi Tengah semalam.
Dalam kejadian tersebut, seorang wanita dilihat memanjat tempat pemijak kaki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam yang dipandu suaminya.
Wanita tersebut menjerit dan meminta suaminya untuk turun dari kereta.
Menurut laporan, wanita tersebut bertindak demikian kerana tidak mampu menahan marah melihat kecurangan suaminya bersama wanita lain.
Orang ramai yang menyaksikan insiden itu meminta si suami memberhentikan kenderaannya dan membantu wanita tersebut turun dari kereta.
Tidak dinyatakan nasib ketiga-tiga individu terlibat dalam pertikaian itu, namun rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa simpati terhadap wanita berkenaan. – AGENSI