PETALING JAYA – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penubuhan Institut Kanser Negara (IKN) merupakan antara jasa Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Menurutnya, selain bertujuan bagi menangani segala keperluan yang semakin meningkat berkaitan dengan isu-isu kanser dalam negara, institut berkenaan dibina sebagai salah satu usaha dalam menyediakan rawatan khusus bagi penyakit tersebut.
“Setelah kehilangan isterinya, Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood akibat kanser payudara pada 2005, sebuah tapak berkeluasan 1,065 ekar yang terletak di Presint 7, Putrajaya telah dikenal pasti dan diluluskan untuk pembangunan Institut Kanser Negara.
“Lokasinya yang strategik bersebelahan dengan Hospital Putrajaya dan Putrajaya Sentral,” tulisnya melalui perkongsian di Facebook.
Dr. Noor Hisham yang telah diberikan wasiat ketika itu memastikan pelaksanaan IKN demi kebaikan semua rakyat Malaysia.
Katanya, Tun Abdullah, banyak berjasa dalam pembangunan modal insan di Kementerian Kesihatan (KKM) dan memberi bantuan kepada pesakit kanser. -KOSMO! ONLINE