SIBU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menahan empat lelaki tempatan dan dua lelaki warga Indonesia kerana disyaki menjalankan kegiatan pembalakan haram di sini semalam.
Komander PGA Sarawak, Senior Asisten Komisioner Che Ghazali Che Awang berkata, lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 38 hingga 61 tahun dan warga Indonesia berumur 32 dan 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di lokasi pembalakan haram di Jalan Selangau di sini kira-kira pukul 10 pagi.
“Hasil pemeriksaan menemukan 400 batang kayu balak termasuk sebuah kenderaan, dua buah jengkaut dan sebuah jentolak di kawasan tersebut, dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 5.7 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Hutan Cawangan Bintulu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Ordinan Jabatan Hutan Sarawak 2015 dan Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE