PETALING JAYA – Pembangkang didakwa mempunyai taktik baharu untuk menakut-nakutkan rakyat dengan menuduh Kerajaan Madani akan menghapuskan monopoli Petronas.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tuduhan tersebut tidak benar kerana perkara yang sedang diusahakan Kerajaan Madani adalah untuk mengurangkan beban Petronas pada masa depan.
“Habislah Pertonas lepas ni. ‘Madanon’ nak hapus monopoli Petronas. Tuduh konon saya sedang merancang formula baharu untuk hapuskan monopoli Petronas dalam industri gas.
“Cerita sebenarnya bosan dan tiada drama, tapi bila didongengkan ada juga yang terpedaya. Popular jap (sekejap) Petronas.
“Saya berada dalam keluarga Petronas sejak berusia 18 tahun sebagai penerima biasiswa Petronas sehingga umur 32 tahun.
“Tak masuk akal orang macam saya nak ‘memangsakan’ Petronas. Kalau ya pun nak ‘spin’, jangan lebih-lebih,” katanya menerusi satu rakaman video yang di muat naik di media sosial hari ini.
Rafizi berkata, hakikat adalah Kementerian Ekonomi dalam proses akhir memuktamadkan Pelan Hala Tuju Gas Negara yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Menurut beliau, pelan itu bukan untuk memangsakan Petronas, sebaliknya untuk mengurangkan beban syarikat gergasi minyak tersebut.
Jelasnya, ketika ini, mana-mana syarikat boleh mengimport Gas Asli Cecair (LNG) untuk dijual ke pasaran walaupun infrastruktur ‘regassification’ dan paip gas dimiliki oleh Petronas.
Ini disebabkan Malaysia mempunyai kerangka akses kepada pemain industri melalui akses pihak ketiga.
“Masalahnya, syarikat lain tidak berminat. Hampir keseluruhan pengimportan LNG ke pasaran domestik dibuat oleh Petronas. Perkara itu menimbulkan beban kepada Petronas kerana kebergantungan negara kepada Petronas semata-mata.
“Sekiranya harga yang diimport Petronas itu lebih tinggi daripada harga yang dijual kepada pasaran, Petronas terpaksa menanggung kerugian,” jelasnya.
Justeru, kata beliau, Pelan Hala Tuju Gas Negara bertujuan merancakkan rantaian nilai gas domestik memandangkan negara terpaksa mengimport lebih banyak LNG selepas ini kerana pengeluaran gas bagi kegunaan pasaran Semenanjung semakin berkurangan.
Katanya, apabila lebih banyak syarikat menceburi perdagangan gas dan mengimport LNG, kedudukan Petronas dan negara adalah lebih baik daripada beberapa sudut.
“Pertama, Petronas dapat menjana pendapatan tambahan kerana syarikat itu perlu membayar yuran akses untuk menggunakan infrastruktur gas Petronas.
“Kedua, risiko Petronas berdepan kerugian kerana memikul beban sebagai satu-satunya pengimport LNG juga berkurangan.
“Ketiga, bekalan gas lebih terjamin kerana industri gas yang lebih banyak pemain. Keempat, kita boleh menarik pelaburan baharu ke dalam industri gas hiliran,” katanya. – KOSMO! ONLINE