GANDINGAN beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berazam untuk bangkit semula dan memberikan persembahan terbaik apabila Malaysia beraksi dalam kejohanan berprestij Piala Sudirman yang bakal berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.
Selepas tersingkir pada peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) minggu lalu di tangan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi dengan kekalahan sengit 21-16, 18-21, 22-20, pasangan negara kini mahu melupakan episod duka itu dan kembali fokus memburu kejayaan.
Sze Fei mengakui penampilan pertama mereka dalam kejohanan berpasukan campuran dunia itu menyuntik motivasi baharu dan peluang untuk membuktikan keupayaan mereka dalam menyumbang mata penting buat pasukan negara.
“Ini adalah kali pertama kami menyertai Piala Sudirman. Sekiranya diberi peluang untuk turun beraksi, kami harap dapat menunjukkan prestasi terbaik kami,” kata Sze Fei.
Pemain berusia 27 tahun itu turut mengulas kekalahan mereka di BAC sebagai satu pengajaran yang perlu diperbaiki sebelum turun ke gelanggang di Xiamen.
“Perlawanan ini (BAC 2025) sangat sengit. Saya rasa mereka (pasangan China) lebih berani untuk melakukan pukulan dalam mata-mata penting. Itu kunci kemenangan mereka.
“Saya rasa kami boleh beraksi dengan lebih baik, jadi kami perlu penambahbaikan,” jelasnya.
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir mara ke separuh akhir Piala Sudirman ialah pada tahun 2021, sebelum tewas 1-3 kepada Jepun dan pada edisi 2023, skuad negara turut terkandas pada aksi separuh akhir selepas tunduk kepada Korea Selatan dengan keputusan yang sama, 1-3.