SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan 50,000 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara menyertai program asas renang dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ia menjadi salah satu inisiatif JBPM di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Perbincangan awal telah dimulakan dan pada Julai ini satu pembentangan bersempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia akan dibuat, bagaimana nak capai 50,000 pelajar sekolah untuk diberikan asas renangan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Beliau ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Sijil Perkhidmatan 30 tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.
Katanya, berdasarkan kajian, 83 peratus daripada kes lemas dapat diselesaikan dan dikurangkan sekiranya individu mengetahui mengenai asas renang.- KOSMO! ONLINE