ATHENS – Rusuhan ganas tercetus di ibu negara Greece, Athens yang menyaksikan kumpulan perusuh bertempur dengan polis selepas waktu tengah malam, lapor akhbar The Sun UK.
Dalam insiden yang bermula kelmarin, kira-kira 50 individu membaling bom petrol, batu dan mercun ke arah polis di luar sebuah balai di Exarchia.
Polis bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata dan grenad bunyi.
Bagaimanapun, keganasan semakin tidak terkawal selepas perusuh mencetuskan kebakaran di kawasan Kallidromiou, Benaki, Charilaou Trikoupi dan Methonis di Athens.
Rakaman dramatik menunjukkan kereta meletup, mencetuskan bebola api dengan asap hitam menjulang ke udara.
Sebanyak 21 kereta dibakar dengan lima kenderaan hangus, manakala sebuah rumah serta kedai rosak teruk.
Pintu masuk dan tingkat bawah sebuah bangunan pangsapuri terbakar, memaksa penghuninya berpindah.
Polis menahan 72 orang dan melaporkan seorang anggotanya cedera dalam keganasan itu.
Wartawan tempatan melaporkan, rusuhan itu berakhir awal semalam.
Rusuhan itu dipercayai berpunca daripada kemarahan berterusan orang ramai terhadap cara polis menyiasat nahas kereta api pada 2023 yang mengorbankan 57 orang. – AGENSI