fbpx

RM1.5 juta suntik nafas baharu sepak takraw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) bercakap kepada media pada sidang akhbar NSTDP di WTC petang tadi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus komited memartabatkan sukan tradisi negara apabila menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi melaksanakan Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP).

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi dana Majlis Sukan Negara (MSN) dan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa pembangunan akar umbi sukan sepak takraw di seluruh negara.

“Dengan adanya program ini, saya percaya kita akan mempunyai kumpulan pemain yang lebih besar dan bakat itu boleh kita gilap dari sekarang,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran NSTDP di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, petang tadi.

Menurut Hannah, sepak takraw bukanlah sukan yang memerlukan kos tinggi, justeru ia sesuai untuk dibangunkan secara meluas termasuk di kawasan pedalaman.

“Sepak takraw bukan sukan yang mahal dan wajar kita bangunkan serta perjuangkan. Saya lihat di kawasan luar bandar, sama ada komuniti Orang Asli atau golongan wanita, sepaktakraw sangat popular,” katanya.

Tambah beliau, jumlah peruntukan tersebut mampu menjana pelbagai program pembangunan khusus yang akan dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah.

“Dengan RM1.5 juta sahaja, mereka boleh anjurkan banyak program pembangunan. Saya harap ini menjadi satu permulaan yang baik untuk sepak takraw,” katanya lagi.

Hannah turut memaklumkan pihak kementerian akan terus memantau keberkesanan pelaksanaan program tersebut menerusi jawatankuasa pembangunan sukan.

“Sepak takraw merupakan antara sukan yang mempunyai pelan pembangunan yang sangat teliti dan jelas. Jadi kita akan berikan semua sokongan untuk pastikan sukan ini terus menjadi popular dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI