PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir yang bakal melanda di lima negeri sehingga pukul 4 petang hari ini.
Menerusi kenyataan MetMalaysia, cuaca buruk itu diramal berlaku di kawasan Perak iaitu daerah Kinta, Kampar, Batang Padang dan Mualim.
“Di Terengganu, cuaca sama dijangka berlaku di Dungun dan Kemaman, manakala Pahang membabitkan Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong dan Kuantan,” katanya.
MetMalaysia berkata, cuaca buruk itu juga dijangka tertumpu di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat di Selangor, manakala di Negeri Sembilan (Jelebu dan Kuala Pilah).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Orang ramai diingati untuk mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di luar rumah semasa ribut petir melanda. – KOSMO! ONLINE