TEMERLOH – Perbuatan kejam lima lelaki memukul seekor anjing hingga mati menggunakan kayu bukan saja dikecam netizen, malah mencetus kemarahan orang ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Insiden menyayat hati itu berlaku di Taman Mentakab Indah, di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam dan dirakam seorang saksi yang juga ibu kepada seorang juruwang wanita berusia 23 tahun.
Video berdurasi beberapa saat yang dimuat naik ke Facebook itu memaparkan aksi sekumpulan lelaki dipercayai berbangsa Melayu memukul seekor anjing dipercayai haiwan peliharaan hingga mati.
Aksi ganas itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang mahukan keadilan buat haiwan malang itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, saksi kejadian telah tampil membuat laporan polis selepas video berkenaan mendapat perhatian meluas di media sosial.
“Pihak polis juga menerima laporan berasingan daripada seorang lelaki Melayu yang mendakwa digigit anjing berwarna coklat dan hitam di kawasan Jalan Utama Taman Mentakab kira-kira pukul 9 pagi pada hari sama.
“Akibat gigitan itu, lelaki berkenaan mengalami luka dan bengkak di kaki kiri dan kes itu telah dirujuk ke Majlis Perbandaran Temerloh untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mazlan, kes memukul anjing itu kini disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Katanya, beberapa individu yang dikenal pasti terlibat akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE