fbpx

PN masih tunggu jawapan kerajaan berhubung isu peruntukan pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin (tengah) bersama tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) masih menunggu jawapan balas daripada kerajaan berhubung isu peruntukan pembangkang selepas surat mengenai perkara tersebut dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof lebih sebulan lalu.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai perkara tersebut selepas membuat serahan secara tangan ke pejabat Timbalan Perdana Menteri.

“Ahli Parlimen di negeri-negeri yang ditadbir PN seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis ada menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, namun jumlah yang diterima sangat kecil.

“Peruntukan itu disalurkan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk kawasan parlimen terlibat. Bagi Ahli Parlimen di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang bukan negeri ditadbir PN, mereka tidak menerima peruntukan.

“Kebanyakan Ahli Parlimen PN menggunakan duit poket sendiri untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing. Selain itu, mereka juga perlu mencari sumbangan sendiri untuk kerja-kerja tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu memberitahu, beliau mahu Kerajaan Perpaduan mengotakan janji untuk menyalurkan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Katanya, perkara tersebut termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI