fbpx

Pegawai polis mengaku tidak salah peras ugut RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita berusia 23 tahun, tahun lalu.

Tertuduh Asisten Superitendan Zuhairi Zubir, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.

Mengikut pertuduhan, Zuhairi didakwa melakukan pemerasan terhadap mangsa dengan mengugut untuk mengambil tindakan berkaitan kesalahan jenayah bagi tujuan mendapatkan wang sebanyak RM10,000.

Kesalahan itu didakwa dilakuka. di Pejabat Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pukul 4.30 petang pada 1 Oktober 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Inspektor M. Alli Nangai mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta memohon satu tarikh ditetapkan bagi serahan dokumen.

Bagaimanapun peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan tertuduh adalah penjawat awam yang telah berkhidmat lebih 20 tahun serta tidak berisiko melarikan diri daripada prosiding mahkamah.

“Tertuduh seorang penjawat awam yang masih lagi bertugas dan tidak ada kemungkinan beliau tidak hadir ke mahkamah.

“Beliau tidak pernah ada rekod disiplin sebelum ini. Saya percaya pada hari ini isteri kepada tertuduh akan hadir untuk jamin, saya rasa adil untuk kenakan hanya RM2,000,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mei ini sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI