PORT DICKSON – Papan tanda jalan di Kampung Sungai Nipah di sini, yang tular sebelum ini dalam bahasa Cina bakal digantikan dengan papan tanda dwibahasa dengan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Hasnor Abd Hamid berkata, ia membabitkan sekurang-kurangnya 16 papan tanda jalan di kampung tersebut yang sudah dipasang sejak Januari 2018.
Katanya, pemasangan papan tanda itu dibuat kepimpinan kampung serta sukarelawan memandangkan perkampungan tersebut sering dikunjungi pelancong China bagi melihat sendiri sejarah virus Nipah yang tercetus di kampung berkenaan pada tahun 1999.
“Pemasangan papan tanda ini tidak dimaklumkan dan tidak mendapat kelulusan MPPD pada tahun 2018 yang lalu. Begitu juga (kelulusan) oleh pihak pejabat daerah.
“Jadi kita akan tanggalkan dan pasang baharu dengan saiz tulisan Bahasa Kebangsaan akan lebih besar daripada bahasa kedua. Bagaimanapun, keputusan ini tidak membabitkan kawasan lain dan mereka perlu memohon kelulusan dengan MPPD,” katanya kepada pemberita di Kampung Sungai Nipah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kesal apabila terdapat papan tanda jalan dalam bahasa Cina di Kampung Sungai Nipah.- KOSMO! ONLINE