fbpx

Malaysia terhutang budi kepada jasa, budi bicaramu – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berkongsi gambar kenangan bersama Allahyarham Tun Abdullah. - FOTO FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – “Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu.”

Demikian coretan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 7.10 malam tadi.

“Saya baru menerima berita yang amat menyentak jiwa iaitu sahabat saya yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia kelima telah kembali menemui Ilahi,” katanya.

Anwar berkata, masih berlegar dalam ingatan beliau kali terakhir menziarahi Allahyarham Tun Abdullah yang berada dalam keadaan sangat uzur lantas meruntun jiwanya.

“Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam.

“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah (Abdullah) sentiasa menjadi pihak yang menenangkan.

“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” ujarnya.

Menurut Anwar, Allahyarham Tun Abdullah bukan sekadar pemimpin, malah insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia.

Jelasnya, dengan pendekatan Islam Hadhari, Allahyarham Tun Abdullah menjadi jambatan antara aspek kemajuan dan pembanganunan dengan nilai.

“Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.

“Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya.

Namun lebih daripada itu, Anwar berkata, Allahyarham Tun Abdullah mengajar kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

“Allahyarham memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.

“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas.

“Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi. Selamat jalan, Pak Lah,” katanya.

Anwar turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosa dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan sepanjang hayat beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI