LONDON – Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an terbunuh dalam insiden letupan gas di Nottinghamshire yang memusnahkan sebuah rumah, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke John Street, bandar Worksop pada pukul 7.39 malam (waktu tempatan) selepas letupan berlaku di sebuah rumah semalam.
Rumah teres itu musnah, manakala kerosakan ketara turut berlaku pada beberapa kediaman lain.
Mayat mangsa kemudian ditemukan di bawah runtuhan kediaman tersebut.
“Ini adalah kejadian sangat serius yang menyebabkan kematian seorang lelaki. Saya pasti insiden mengejutkan masyarakat di Worksop,” kata Ketua Inspektor Polis Nottinghamshire, Clive Collings.
Sebahagian penduduk di John Street telah dipindahkan, manakala siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca letupan. – AGENSI