NEW DELHI – Seorang lelaki dari negeri Uttar Pradesh dituduh melarikan diri bersama bakal ibu mentuanya, sembilan hari sebelum majlis perkahwinannya berlangsung, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Rahul, 20, dan tunangnya, Shivani sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 16 April ini.
Namun, pada 6 April lalu, Rahul melarikan diri bersama ibu tunangnya, Anita, 40, serta turut mengambil duit simpanan keluarga tersebut.
Menurut Shivani dan bapanya, Kumar, mereka menyedari kemesraan antara Rahul dengan Anita semenangnya luar biasa, namun enggan berfikiran buruk kerana majlis perkahwinan semakin menjelang.
“Rahul dan ibu saya asyik berbual dalam telefon sejak tiga hingga empat bulan lalu.
“Ibu saya mengambil semua wang kami. Dia boleh melakukan apa yang dia mahu sekarang, kami tidak kisah.
“Apa yang kami mahukan adalah wang dan barang kemas itu dikembalikan kepada kami,” kata Shivani.
Sementara itu, Kumar berkata, dia menghubungi isterinya beberapa kali, namun wanita tersebut mematikan telefon bimbit.
“Saya menghubungi (Rahul) juga tetapi dia menafikan Anita ada bersamanya.
“Rahul akhirnya berkata bahawa saya telah menyusahkan isteri saya selama 20 tahun dan saya harus melupakan Anita,” kata Kumar. – AGENSI