fbpx

Konstabel mengadu sakit kepala sebelum meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Fauzi rebah sebelum disahkan telah meninggal dunia di sebuah bangsal di Taman Bandar Perdana, Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang anggota polis mengadu sakit kepala sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia di sebuah bangsal di Taman Bandar Perdana, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu berlaku ketika mangsa, Konstabel Mohd Fauzi Ahmad Noor, 44, anggota Balai Polis Batu Kawan, Pulau Pinang berehat di situ.

Rakan kepada anggota polis terbabit memberitahu, arwah baru selesai membeli lauk makan tengah hari di sebuah warung berhampiran sebelum datang berehat di bangsal itu.

“Semasa dia datang tadi, kami lihat dia tidak ceria seperti selalu selain mengadu sakit kepala dan meminta kami memicitnya sebelum dia rebah tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia kemudian bertindak menghubungi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan isteri mangsa, Nurul Zulaily Yahaya, 42, untuk memaklumkan kejadian.

“Pihak kakitangan HSAH yang tiba di lokasi mengesahkan Mohd Fauzi telah meninggal dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Nurul Zulaily yang merupakan seorang guru berkata, dia bergegas ke lokasi itu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Putra di Kepala Batas, Pulau Pinang selepas mengetahui kejadian menimpa suaminya.

“Saya terkejut dan hampir pengsan selepas mendengar berita kematian suami sebelum ditemani guru lain ke lokasi kejadian yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Arwah suami seorang yang sangat baik dan disenangi rakan-rakan,” katanya ringkas dan enggan mengulas lanjut.

Mayat mangsa dibawa HSAH untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail yang dihubungi mengesahkan kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI