PETALING JAYA – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming sekali lagi mencuri perhatian ramai selepas mendedahkan jumlah ‘gift’ yang diterima sepanjang melakukan siaran langsung di TikTok mencecah RM31,931.87.
Perkongsian itu dimuat naik pengguna TikTok @Hasbimendez yang menyatakan dia langsung tidak pernah menggunakan duit tersebut untuk kepentingan diri.
“Duit ‘gift’ yang bagi dekat saya setakat ini satu sen pun tak ambil. Duit ini guna untuk bagi ‘gift’ dekat orang lain pula. Tidak pernah habis duit ini sebab bila saya buat ‘live’, masuk duit baharu,” katanya dalam siaran tersebut.
Pendedahan itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata memuji sikap dermawan dan rendah dirinya.
“Aku kalau terkumpul ratus-ratus pun dah ‘withdraw’. Dia tak tergoda langsung,” kata @Otakdua.
“Bagus la dia ini, tak selalu orang macam ini, semua mata duitan mana boleh tengok duit,” kata @Aqiruladzemi.
“Dia buat ‘live’ bukan untuk minta duit, orang yang bagi. Dia selalu cakap dalam ‘live’ berhenti bagi ‘gift’. Alhamdulilah, dia sedekahkan untuk orang lain. Semoga makin mencurah-curah rezeki, kata @Nadiajaperi. – KOSMO! ONLINE