GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Sarawak akan memperluas program Ngabas Anak Sarawak ke seluruh negara secara berperingkat bagi memastikan anak-anak negeri itu yang menuntut di seluruh negara tidak terpinggir daripada perhatian dan sokongan kerajaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, program itu telah dimulakan hari ini dengan sesi bersama pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM).
Katanya, program itu dijangka diteruskan ke zon tengah dan selatan selepas ini sebagai satu inisiatif kerajaan negeri memastikan pelajar Sarawak kekal terhubung dan berdaya saing di peringkat nasional.
“Program ini bertujuan menghubungkan pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia dengan inisiatif-inisiatif pendidikan dan pembangunan bakat yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak.
“Ini merupakan program pertama kita di peringkat zon utara. Kami pilih USM sebagai permulaan, dan akan diperluas ke institusi pengajian tinggi lain mengikut zon,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan program Ngabas Anak Sarawak yang merupakan anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dengan kerjasama Perkumpulan Anak-anak Sarawak (PERKASA) USM.-KOSMO! ONLINE