KUALA LUMPUR- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan perbincangan bagi membincangkan mengenai harga benih padi yang dikatakan agak tinggi ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, segala perkembangan mengenai hal tersebut akan dimaklumkan segera.
“Kita akan berbincang dengan pegawai kementerian dahulu, segala keputusan kami akan maklumkan melalui kenyataan nanti,” jawab beliau ringkas.
Beliau berkata demikian selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.
Terdahulu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) memohon Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengeluarkan segera arahan penurunan harga benih padi bagi musim 1/2025 untuk meringankan beban golongan itu.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, berkata ia berikutan harga kawalan benih padi di pintu kilang pada ketika ini masih RM58 satu beg (20 kilogram) seperti ditetapkan pada Mac 2024, iaitu ketika harga padi semasa yang ditawarkan kilang mencapai hingga RM1,800 satu tan.
“Penurunan harga belian padi pada tuaian yang lepas iaitu sekitar RM1,500 menjadikan harga benih semasa pada masa ini tidak lagi munasabah.
“Tindakan perlu disegerakan kerana musim tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) fasa pertama (pelepasan air) akan bermula pada 16 April ini.
“Sekarang pesawah terpaksa beli benih padi sah dengan harga RM58 satu beg (20 kilogram) dan kami cadangkan harga sesuai diturunkan kepada RM35 satu beg di pintu kilang,” katanya.- KOSMO! ONLINE.