PETALING JAYA – Seperti dijangka, skuad feeder Johor Darul Ta’zim (JDT) II meraih kejuaraan Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim ini selepas menewaskan Penang FC II dalam aksi terakhir dengan keputusan 7-0 sebentar tadi.
Pada aksi terakhir di Stadium Sultan Ibrahim itu, skuad muda Harimau Selatan yang hanya memiliki kelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, Selangor FC II terdesak untuk memburu tiga mata berharga.
Namun, pasukan tuan rumah tidak mempunyai masalah untuk tampil garang apabila mendahului 4-0 pada babak pertama hasil jaringan Gabriel Nistelrooy pada minit ke-9, Najmudin Akmal (m-15 dan m-27) selain tonggak naturalisasi negara, Romel Morales.
Bersambung pada separuh masa kedua, JDT II mempamerkan momentum yang sama apabila Najmudin melengkapkan jaringan hatrik menerusi tandukan pada minit ke-50.
Morales turut berjaya mencetak gol kedua peribadi menerusi percubaan jarak jauh pada minit ke-61 sebelum Nistelrooy melengkapkan kemenangan bergaya selepas menyempurnakan sepakan penalti berselang lima minit kemudian.
Keputusan tersebut menyaksikan JDT II meraih 53 mata selepas mengharungi 24 perlawanan manakala Selangor FC II yang turut melakar kemenangan 7-0 ke atas Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) meraih 52 mata.
Ini adalah penganjuran terakhir Piala MFL selepas pengelola liga negara, MFL membuat keputusan untuk memansuhkan kejohanan peringkat pelapis itu pada musim depan. – KOSMO! ONLINE