MANCHESTER – Kecederaan yang dialami penjaga gol, Ederson membayangi kejayaan Manchester City yang meraih kemenangan 5-2 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad kelmarin.
Selepas mencipta bantuan gol ketika City memperoleh jaringan keempat, pemain itu tidak dapat menamatkan perlawanan dan pengendali City, Pep Guardiola mengakui masih belum mempunyai maklumat untuk memaklumkan mengenai situasi dialami Ederson.
“Dia berjaya melakukan hantaran dengan agak baik, namun selepas itu dia ada merasakan sesuatu pada kaki kanannya hingga tidak dapat meneruskan permainan,” kata Guardiola.
Terdahulu Palace mendahului dua gol hasil ledakan Eberechi Eze dan Chris Richards, namun City mempamerkan kebangkitan yang menyaksikan Kevin De Bruyne, Omar Marmoush, Mateo Kovacic, McAtee serta Nico O’Reilly menghasilkan jaringan buat tuan rumah.
Umpanan yang dilakukan oleh Ederson itu merupakan bantuan jaringan keempat yang dilakukan pemain itu musim ini dan secara keseluruhan merekodkan tujuh umpanan gol sepanjang menyarung jersi The Cittizens.
“Sudah jelas ia amat sukar untuk dipercayai. Yang pasti dia memiliki kualiti hantaran yang cukup baik,” kata Guardiola merujuk kepada statistik dimiliki Ederson.
Guardiola juga turut gembira melihat persembahan dan komitmen yang ditonjolkan De Bruyne walaupun bintang dari Belgium itu sudah pun mengumumkan tidak akan kekal bersama pasukan musim depan. – AGENSI