fbpx

Empat sekawan tak mengaku rompak, cedera dua individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Empat rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap dua individu antara Mac lalu hingga awal bulan ini.

R. Jegatisvaran, 35, R. Keshen Raj, 21, T. Naarentheran,21, dan R. Rakesh Ruhilan,21, membuat pengakuan itu setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan serentak oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan pertama, keempat-empat mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didapati dengan sengaja menyebabkan cedera semasa merompak motosikal jenis Yamaha Y125ZR milik seorang lelaki berusia 25 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah pondok kosong di Jalan Telaga Air, Butterworth kira-kira pukul 5.30 petang, 23 Mac lalu.

Masing-masing didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, kesemua mereka termasuk seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak dua telefon bimbit sehingga mendatangkan kecederaan ke atas pemilik yang berusia 17 tahun di kawasan padang bola Flat Mak Mandin, Taman Sukaria kira-kira pukul 2 pagi, 8 April lalu.

Keempat-empat mereka yang didakwa mengikut seksyen sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan keempat-empat tertuduh dikhuatiri mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, P. Vaasudevan yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan serta bersedia untuk mematuhi syarat tambahan yang dikenakan mahkamah.

“Tertuduh pertama iaitu Jegatisvaran sudah berkahwin, memiliki seorang anak dan bekerja menjual ‘scrap metal’ manakala Keshen Raj perlu menanggung ayah yang berusia dengan pendapatan RM1,700 sebulan.

“Naarentheran bekerja sebagai penghantar kurier dan tidak memiliki gaji tetap serta Rakesh Ruhilan pula tidak bekerja,” katanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Mei depan bagi serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI