PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan ekonomi dunia semakin mencabar disebabkan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) yang sering berubah-ubah.
Menurut beliau, ketidaktentuan dasar tarif AS bukan sahaja mengganggu kestabilan pasaran global, malah boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara ini.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Kerjasama, perbincangan dan libat urus berterusan bersama semua pihak amat penting.
“Bagi memastikan setiap keputusan yang diambil berpaksikan kefahaman yang jelas terhadap impak kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan, pagi tadi berlangsung mesyuarat kedua Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC)
Menurutnya, pelbagai cabaran dan risiko semasa serta yang dijangka pada masa akan datang telah diperincikan dalam mesyuarat itu.
Jelas beliau, perbincangan tersebut penting untuk merangka strategi dan pendekatan yang tersusun dan berfokus agar pertumbuhan ekonomi serta perdagangan negara kekal mampan dan berdaya tahan.
Ujar beliau, kerajaan komited untuk terus memberi tumpuan kepada aspek ketahanan ekonomi negara, namun kekuatan sebenar terletak pada sumbangan sektor swasta dan para pemain industri.
“Merekalah yang menjadi tulang belakang kepada daya saing negara di peringkat global. Insya-Allah, dengan perancangan yang teliti dan kerjasama erat daripada semua pihak, kita akan mampu mendepani segala cabaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE