PETALING JAYA – DKSH Holdings (Malaysia) Berhad (DKSH Malaysia) melalui anak syarikatnya, DKSH Malaysia Sdn. Bhd. telah menerbitkan nota jangka pertengahan bernilai RM300 juta (terbitan MTN) di bawah Program Kertas Komersial dan MTN yang baru ditubuhkan bernilai RM800 juta.
OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Malaysia) bertindak sebagai penasihat utama tunggal, pengatur utama, pengurus utama, penasihat penstrukturan kelestarian dan ejen kemudahan untuk program berkenaan.
Naib Presiden, Penjagaan Kesihatan dan Ketua, Pimpinan Negara, Malaysia, DKSH, Sandeep Tewari berkata, pelaksanaan program ini bertepatan pada masanya bagi memberi peluang kepada syarikat untuk mempelbagaikan sumber pembiayaannya sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik untuk menggiatkan dan mengembangkan perniagaan di Malaysia.
Usaha ini juga menekankan komitmennya untuk menerapkan kelestarian sebagai teras strategi perniagaan, memastikan pertumbuhan jangka panjang yang bertanggungjawab dan juga berdaya tahan.
Program ini telah dirangka dengan fleksibiliti untuk menerbitkan MTN kelestarian dan berkaitan kelestarian untuk melengkapi objektif kelestarian utama Kumpulan bagi membolehkan kakitangan berkembang maju, membina rantaian nilai yang lestari, mencapai emisi sifar bersih dan mencetus impak setempat yang positif.
“Terbitan bon ini merupakan pencapaian sulung bagi DKSH Malaysia dan merupakan langkah penting ke hadapan dalam strategi kewangan, ia membolehkan kami mempelbagaikan sumber pembiayaan sambil mengimbangi pembiayaan jangka pendek dan jangka panjang untuk memacu pertumbuhan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Selain itu, Pengarah Urusan, Pegawai Bank Kanan dan Ketua Perbankan Pelaburan, OCBC, Tan Ai Chin menerangkan, pihaknya berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menjadi penasihat utama dan mengatur Program CP dan MTN sulung DKSH dalam pasaran modal Malaysia.
Pakatan strategik OCBC dengan Kumpulan DKSH meliputi operasi mereka di Singapura, Malaysia, Thailand dan selanjutnya.
“Kami telah meneruskan usaha perintis ini dalam menyediakan dan mendalamkan penyelesaian pembiayaan lestari untuk pelanggan yang dihargai melalui MTN berkaitan kelestarian sulung terbitan DKSH Malaysia.
“Ia juga sejajar dengan sasaran kesaksamaan jantina dan pengurangan emisi GHG DKSH,” jelasnya,