PETALING JAYA: Menitikberatkan soal kesihatan, Pelakon dan pengarah terkenal Indonesia, Baim Wong telah melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital terkemuka di Pulau Pinang.
Menerusi perkongsian Baim atau nama sebenarnya Muhammad Ibrahim, 44, dalam Instagram, dia telah memuat naik beberapa foto beserta laporan ujian kesihatannya.
“Alhamdulillah saya sihat. Tak ada kanser, ketumbuhan, HIV atau penyakit lain. Cuma kolestrol sahaja tinggi kerana masih suka makan makanan laut, keju dan daging merah. Tetapi semuanya okey.
“Saya juga telah melakukan ujian mental. Alhamdulillah saya sihat, tak ada penyakit mental yang perlu saya khwatir. Allah maha baik,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Tambah pengarah filem Lembayung itu lagi, penyakit merupakan hak privasi individu dan tidak semestinya dikongsikan kepada khalayak.
“Penyakit itu adalah privasi seseorang dan kadang-kadang merupakan luka bagi orang tersebut. Kalau boleh janganlah dicanangkan kepada orang awam. Rahsiakan. Kesian orang tersebut. Bukan kerana kita ingin menyembunyikan sesuatu tapi kerana hal tersebut bersangkut paut dengan hak asasi manusia.
“Penyakit terutamanya yang berat atau berbahaya bukan hanya soal kesihatan. Ia membawa bebanan kepada emosi , sosial dan spiritual. Ketika seseorang mengalaminya, dunia terasa seperti mengecil. Kadang-kadang satu-satunya tempat paling aman yang tinggal adalah pasangannya sendiri.
“Bayangkan saat seseorang berjuang melawan rasa takut, sakit dan ketidakpastian, apa yang paling dia perlukan? Bukan perhatian orang ramai tetapi perlindungan, pemahaman dan kesetiaan. Tidak ada seorang pun yang mahu penyakitnya diberitahu kepada umum. Ini pandangan peribadi saya sahaja,” tulisnya.
Terdahulu Baim dikatakan mengalami penyakit Narcissictic Personality Disorder (NPD) oleh netizen Indonesia gara-gara kes penceraiannya dengan bekas isteri, Paula Verhoeven yang mendapat perhatian meluas media di sana. – KOSMO! ONLINE