PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa sedih atas kematian penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2010, Mario Vargas Llosa, 89, semalam.
Menurut Anwar, Vargas Llosa seorang titan sastera yang karya-karyanya menggerakkan minda dan mencabar kuasa.
“Apabila saya menerima ‘Order of the Sun of Peru’ tahun lepas, saya merenung tentang keistimewaan menerima penghormatan yang pernah diberikan kepadanya sebelum ini.
“Tulisannya menangkap sesuatu yang unik dan sangat universal. Warisannya akan kekal,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Khabar angin mengenai keadaan kesihatan penulis itu yang semakin merosot sudah tersebar sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Vargas Llosa lahir dalam sebuah keluarga kelas pertengahan di Peru.
Beliau adalah antara tokoh utama dalam ledakan sastera Amerika Latin pada era 1960-an dan 1970-an bersama Gabriel Garcia Marquez dari Colombia dan Julio Cortazar dari Argentina. – KOSMO! ONLINE