ISKANDAR PUTERI – Angkara hutang, seorang lelaki nekad melakukan khianat dengan membakar rumah pemiutang dalam kejadian di Taman Mutiara Rini, di sini semalam.
Tindakan lelaki tempatan berusia 22 tahun itu bertambah buruk setelah api merebak dengan pantas menyebabkan dua rumah teres satu tingkat bersebelahan kediaman mangsa turut terbakar.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan menerusi panggilan telefon oleh seorang lelaki yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 6.55 pagi semalam.
“Bertindak pantas atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri melakukan siasatan dan berjaya menahan suspek kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.
“Kita turut merampas sepasang baju dan seluar dipercayai digunakan suspek ketik kejadian dan satu pemetik api,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kumarasan berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada isu hutang antara suspek dan individu yang berhutang dengannya.
Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan saringan awal air kencing dijalankan terhadapnya adalah negatif dadah.
“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat untuk membinasakan rumah. – KOSMO! ONLINE