RAUB – Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui akan memberi keterangan pada petang ini berkaitan isu menghalang tugas penguat kuasa yang melakukan penebangan pokok durian musang king di tanah kerajaan.
Yu Hui berkata, beliau akan memberi kerjasama selepas menerima panggilan daripada pihak polis yang memintanya ke balai polis bagi memberikan keterangan hari ini.
“Dalam pukul 3.30 petang ini saya akan pergi beri keterangan, pihak polis ada telefon saya, yang lain (individu lain) saya tidak pasti,”katanya di sini hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan polis akan mengambil keterangan lima individu termasuk Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui kerana menghalang tugas penjawat awam yang menjalankan operasi penebangan durian musang king di tanah kerajaan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman dilaporkan berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
Katanya, sehingga kini sebanyak tiga laporan polis diterima dan siasatan giat dilakukan.
Baru-baru ini sekumpulan pekebun durian mengadakan demonstrasi di pekan Klau di sini sehingga menyekat laluan penguat kuasa untuk melakukan operasi penebangan musang king haram.
Semasa kejadian kira-kira 50 orang bertindak menghalang laluan dengan membawa kain rentang sebagai tanda bantahan kerana memusnahkan tanaman durian yang disyaki ditanam kira-kira 30 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE