SEPANG – Selepas menakluk pentas Asia, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mula memasang impian lebih tinggi menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis pada 25 hingga 31 Ogos depan.
Aaron berkata, dia dan Wooi Yik memiliki impian untuk kembali merampas gelaran dunia yang pernah dimenangi ketika mereka muncul juara pada Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo, Jepun.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Melaka itu berkata, mereka masih dalam proses untuk menyesuaikan diri sepenuhnya dengan corak permainan diterapkan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.
“Memang kami sangat gembira dapat merangkul kejuaraan (Asia) dan kami akan berjuang lebih lagi selepas ini. Kami akan berbincang lagi dengan Herry bagi memastikan permainan menjadi lebih kemas.
“Sudah tentu selepas ini kami akan meletakkan sasaran untuk kejohanan dunia tetapi seperti saya cakap, kami masih menyesuaikan diri dengan corak permainan Herry,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Pusat Sukan Olimpik Ningbo malam tadi, beregu No.6 dunia itu menewaskan wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi menerusi aksi straight set 21-19, 21-17 dalam tempoh 47 minit.
Kemenangan itu cukup bermakna kerana dapat menamatkan penantian selama 18 tahun selepas kali terakhir Malaysia muncul juara Asia dalam acara beregu lelaki adalah pada edisi 2007 menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
“Memang sangat bermakna untuk negara kerana sudah lama kita tidak ada gelaran ini. Saya dan Aaron juga sudah lama tidak menjadi juara, jadi sedikit sebanyak memberi keyakinan untuk kami berdua,” ujar Wooi Yik. – KOSMO! ONLINE