KUANTAN – Akibat terperdaya dengan skim pelaburan emas tidak wujud, seorang wanita warga emas berputih mata apabila mengalami kerugian kira-kira RM2.6 juta.
Kerugian dialami mangsa melibatkan wang simpanan, wang mendiang suami, hasil jualan rumah dan pinjaman daripada anak mangsa yang menetap di luar negara.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula 20 Februari tahun lalu apabila mangsa yang berumur 72 tahun diperkenalkan suspek satu skim pelaburan emas melaui laman aplikasi Facebook.
“Kemudian mangsa telah diberikan satu pautan untuk dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp.
“Dalam kumpulan tersebut mangsa telah diberikan latihan untuk mengendalikan pelaburan emas,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa mula membuat pelaburan melalui tiga aplikasi yang diberikan oleh suspek.
Katanya, dalam tempoh 18 April 2024 hingga 9 Disember 2024 mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM 2,612.203.30 dengan 60 kali transaksi ke dua akaun bank yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas semua aplikasi pelaburan gagal diakses dan wang keuntungan yang dijanjikan tidak diterima,”katanya.
Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan
tinggi.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE