KOTA TINGGI – Seorang peneroka di Felda Air Tawar 3, di sini nyaris lemas dihanyutkan arus banjir bersama motosikalnya selepas ketika melalui laluan utama kampung itu yang dinaiki air petang tadi.
Anak mangsa, Muhammad Jasni, 26, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa bapanya, Juma’at Salleh, 73, daripada rakan sebelum dia bersama abangnya segera ke lokasi.
“Sebaik sampai, kami mendapati laluan itu masih dinaiki air dan hujan. Orang kampung sedang tarik motosikal abah. Saya tak dapat tolong sebab sebelah tangan tidak boleh bergerak.
“Keadaan abah baik, cuma kakinya sakit. Beg mengandungi duit dan lesen turut hilang dibawa arus, manakala motosikalnya dimasuki air dan mengalami kerosakan, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular rakaman penduduk membantu menarik motosikal milik warga emas yang nyaris dihanyutkan arus deras dalam keadaan banjir kilat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kejadian itu dipercayai berpunca ekoran hujan lebat pada pukul 2.20 petang tadi.
“Bagaimanapun mangsa dapat diselamatkan oleh orang ramai yang ada di situ sewaktu kejadian. Buat masa ini jalan tersebut boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan. Air juga telah surut sepenuhnya,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE