KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini tiba di Menara Kuala Lumpur untuk menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Kapsul Masa Wawasan 2020, yang telah disimpan sejak 1996 sebagai simbol aspirasi masa depan negara.
Dr. Mahathir tiba di pekarangan Menara Kuala Lumpur pada pukul 11.07 pagi.
Dr. Mahathir, yang juga pencetus gagasan Wawasan 2020, disambut oleh tetamu kehormat termasuk tokoh-tokoh kenamaan serta pemimpin negara.
Pembukaan kapsul ini adalah lambang kesinambungan sejarah dan impian besar negara yang digagaskan melalui Wawasan 2020.
Majlis hari ini turut diraikan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’.
Terdahulu, Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh berkata, majlis tersebut dibiayai sepenuhnya oleh pihak pengurusan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja MKLSB serta menghormati jasa Dr. Mahathir sebagai tokoh penting yang mencorakkan pembinaan menara ikonik negara itu.
“Kapsul masa berkenaan ditanam pada 1 Oktober 1996 bersempena perasmian Menara Kuala Lumpur dan sepatutnya dibuka pada tahun 2020.
“Namun, berikutan pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19, pembukaan kapsul tersebut terpaksa ditangguhkan.
“Kunci kepada kapsul tersebut telah dijaga dengan penuh amanah oleh Ketua Pegawai Operasi MKLSB, Affandi Abdullah, selama lebih 28 tahun, satu simbol dedikasi dalam menjaga warisan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE