KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebak apabila tidak menyangka beliau sendiri yang akan membuka kapsul masa yang dia sendiri tanam di Menara Kuala Lumpur hampir 30 tahun lalu.
Mahathir berkata, pelbagai jenis barangan termasuk duit telah dimasukkan ke dalam kapsul tersebut dan dilihat semula selepas ia dikeluarkan ketika dia berusia 100 tahun hari ini.
“Saya tak sangka saya yang akan buka semula kapsul ini,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kuala Lumpur sebentar tadi.
Tun M yang dilahirkan pada 10 Julai 1925 merupakan watak penting dalam arus permodenan negara kerana berjaya mengeluarkan Malaysia daripada negara dunia ke-3 kepada negara industri apabila memperkenalkan jenama kereta nasional Proton dan usaha-usaha beliau dalam memajukan negara selama ini.
Orang ramai ternyata teruja dengan mengikuti siaran langsung Kosmo! di TikTok dengan meninggalkan komen-komen mengimbau kenangan ketika Tun M meneraju negara. – KOSMO ONLINE!