KOTA BHARU – Sebuah syarikat pembinaan kondominum mewah didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri bekalan air terawat milik Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di sini enam tahun lalu.
Hukuman itu ditetapkan selepas syarikat berkenaan selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili pengurus projek syarikat, Yang Chuangang yang merupakan wargnegara China membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, syarikat OKS melakukan perbuatan menyalahi undang-undang dengan membuat sambungan ke sesalur utama awam tanpa mendapat kebenaran sah daripada AKSB
Perbuatan itu dilakukan di Lot 10014, Seksyen 12 di sini pada 11 September 2019.
Mengikut fakta kes, SPAN mengadakan operasi di tapak pembinaan sebuah kondominium 36 tingkat sebelum mendapati satu sambungan terus ke sesalur utama awam sedia ada milik AKSB dibuat di luar tapak pembinaan kira-kira pukul 2 petang pada 11 September 2019.
Pegawai SPAN juga mendapati bekalan air daripada sambungan yang menyalahi undang-undang itu digunakan bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan.
Kontrak pembinaan syarikat OKS bagi pembinaan kondominium berkenaan bernilai RM89 juta dan nilai kos penggunaan air tidak berhasil itu daripada punca sambungan yang menyalahi undang-undang adalah sebanyak RM42,690. – KOSMO! ONLINE