TUMPAT – Cubaan penyeludup untuk membawa masuk pelbagai jenis makanan sejuk beku termasuk sosej babi yang bernilai RM12,600 gagal selepas kegiatan tersebut dikesan di dua pangkalan haram di Pengkalan Kubor di sini dan Rantau Panjang dekat sini semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, rampasan melibatkan sosej babi dijalankan kira-kira pukul 9.30 malam di pangkalan haram Kebun di sini
Menurutnya, anggota Batalion 7 PGA pada awalnya ternampak beberapa lelaki sedang memunggah barang dari perahu ke tebing sungai semasa menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.
“Kesemua suspek bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
“Pemeriksaan di tebing sungai itu menjumpai sebanyak 15 peket sosej babi anggaran nilai RM 600 yang disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, sebelum rampasan sosej itu, anggota PGA pada hari yang sama berjaya menggagalkan cubaan menyeludup pelbagai jenis makanan sejuk beku dari Thailand di pangkalan haram Epek, Rantau Panjang dekat sini.
Menurutnya, rampasan itu dijalankan kira-kira pukul 2.30 petang selepas anggota PGA menjumpai beberapa bungkusan barangan ditinggalkan di tebing Sungai Golok di kawasan pangkalan haram tersebut.
“Pemeriksaan mendapati, sebanyak 240 peket makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM12,000 yang dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Kesemua barangan rampasan bagi kedua-dua kes itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE