fbpx

[VIDEO] ‘Saya kagum, babak aksi Blood Brothers luar biasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSOF kagum dengan hasil kerja sutradara, barisan kru dan filem Blood Brothers: Bara Naga yang disifatkan luar biasa hebat. - AMIR KHALID

PETALING JAYA – Penerbit dan pengarah Datuk Yusof Haslam bangga melihat hasil kerja anak lelakinya, Syafiq Yusof  menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga yang meraih kutipan RM9.2 juta dalam tempoh dua hari tayangan.

Menurut Yusof, 71, dia yang turut ke set penggambaran mengakui proses pembikinan Blood Brothers bukan satu kerja yang mudah dan kagum dengan hasil yang dipaparkan.

“Selepas menonton, saya rasa kagum sebab bukan senang nak hasilkannya lebih-lebih lagi babak aksi yang luar biasa.

“Memang risau sebab penggambaran filem ini mengambil masa yang panjang malah babak pertarungan makan masa selama sebulan sampai pengsan pelakon.

“Tapi, apabila tengok hasil kerja, Alhamdulillah. Syafiq dan Abhilash memang satu kombinasi baik,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan gala filem tersebut baru-baru ini.

Yusof turut menzahirkan pujian selain berbangga melihat karya arahan anaknya bersama Abhilash Chandra meski pun terpaksa menambah RM1 juta untuk bajet keseluruhan menjadi RM7 juta.

“Saya tak mahu terlalu yakin bila letakkan sebarang sasaran dan berhabis terlalu banyak untuk bajet serta tidak mahu ikut nafsu. Bajet asal RM6 juta tetapi akhirnya menjadi RM7 juta.

“Kalau filem ini sukses dengan izin Allah SWT, kami akan sambung.

“Cuma saya nak ucap terima kasih kepada pengarah bersama, Abhilash. Jika tiada bantuan Abhilash, beban Syafiq bertambah berat,” ujarnya.

Dia bahkan memuji kesungguhan barisan pelakon yang memberi 100 peratus tenaga demi mendapatkan hasil terbaik.

“Para pelakon dan semua kru dalam filem dah berkorban tenaga. Terima kasih kepada mereka. Tiada pelakon yang bising nak cepat habis.

“Ada babak ambil masa berhari-hari dan itu memang akan berlaku bila buat filem dengan Syafiq serta Syamsul Yusof. Memang kata dua hari tapi boleh jadi lima hari kalau tak dapat apa yang diinginkan.

“Semua pelakon memang beri komitmen tinggi. Macam Shukri Yahaya, saya risau juga sebab dia hero cintan-cintun tapi dia ‘perform’ dengan baik,” katanya lagi.

Semalam, filem aksi tersebut mencatat kutipan mencecah RM9.2 juta hanya dalam dua hari tayangan rasmi termasuk tayangan awal sejak 8 April lalu.

Blood Brothers: Bara Naga menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Irfan Zaini, Andy Teh, Ray Dap Dap, Amelia Henderson dan Zamarul Hisham. – KOSMO! ONLINE

@hibglam.com.my "Saya risau juga dengan Shukri Yahaya sebab dia hero 'cintan-cintun' tapi dia berjaya." Yusof Haslam memuji dan kagum dengan penghasilan filem Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra. Berita penuh layari https://hibglam.com.my #bloodbrothers #filem #syafiqyusof #sharnaazahmad #shukriyahaya ♬ original sound – HIBGLAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI