SABAK BERNAM – Kerajaan Selangor akan merobohkan struktur sebuah rumah ibadat peribadi yang dibina di tapak cadangan pembinaan Masjid Dengkil jika masih gagal dikosongkan dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu itu segera diselesaikan demi kepentingan umat Islam di kawasan tersebut.
Tegas beliau, tapak itu bukan tanah hak milik rasmi dan kewujudannya tidak diiktiraf secara sah mengikut undang-undang negeri atau Perlembagaan Persekutuan.
“Ia hanya tempat ibadat peribadi dan bukannya masjid atau rumah ibadat yang berdaftar.
“Maka, tidak wajar didirikan atas tanah yang diperuntukkan untuk pembinaan masjid bagi manfaat komuniti Islam setempat,” katanya ketika ditemui pada majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar di sini hari ini.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk merobohkan struktur itu sekiranya pihak terlibat masih tidak mengosongkannya.
“Mengikut titah Tuanku (Sultan Selangor), kami akan mengambil tindakan dalam tempoh sebulan bagi menyelesaikan isu ini.
“Pemilik rumah ibadat itu sudah bersetuju untuk mengosongkan kawasan berkenaan. Kita tegas dalam isu ini, namun keharmonian kaum dan agama akan terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE