IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah menipu untuk mendapat tauliah mengajar agama di negeri ini.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, lebih mengecewakan lagi, calon tersebut iaitu Abd. Muhaimin Malek, 44, enggan memberikan penjelasan terhadap isu tersebut meskipun ia melibatkan integriti dan kelayakan asas sebagai pemimpin yang ingin mewakili rakyat.
“Di Perak, tauliah mengajar agama Islam dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak melalui Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.
“Permohonan tauliah tertakluk kepada proses ketat termasuk ujian bertulis, temu duga, dan tapisan latar belakang. Kelulusan akhir hanya diberikan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak selaku Ketua Agama Islam Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Asmuni berkata, sebarang cubaan menipu dalam permohonan tauliah bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi agama, malah merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja serta derhaka kepada titah Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini.
Beliau berkata, peraturan semasa juga dengan jelas menyatakan bahawa individu yang memegang jawatan dalam parti politik atau bertanding dalam pilihan raya tidak layak diberikan tauliah mengajar.
“Jika dakwaan ini benar, maka jelas calon tersebut telah memperoleh tauliah secara tidak sah dan menipu pihak berkuasa agama, selain melanggar garis panduan dan peraturan sedia ada.
“Lebih penting, tindakan ini bertentangan dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak sendiri yang sebelum ini telah menegur secara terbuka usaha menyalahgunakan institusi agama dan tempat ibadah bagi kepentingan politik kepartian,” katanya.
Asmuni berkata, perbuatan seperti itu bukan sahaja mencemar kesucian masjid dan surau, malah mencerminkan sikap tidak menghormati arahan tertinggi negeri.
“Amanah Perak menegaskan bahawa perbuatan ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, pelanggaran undang-undang syarie, serta mencemar kedaulatan Raja Berperlembagaan. Ia memperlihatkan sifat tidak jujur dan oportunis yang tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin rakyat,” katanya.
Justeru, beliau berkata, mereka menyeru agar pihak berkuasa agama menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
“Rakyat Ayer Kuning berhak memilih pemimpin yang bersih, berintegriti dan menghormati institusi negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE