fbpx

PPS Putra Heights ditutup sepenuhnya hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan terkini PPS Masjid Putra Heights selepas 13 hari beroperasi menempatkan mangsa kebakaran saluran paip gas baru-baru ini.

SUBANG JAYA – Pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights yang dibuka susulan tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights secara rasmi ditutup pada pukul 2 petang tadi selepas kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke penempatan baharu.

Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, penutupan bekenaan dilaksanakan susulah sebanyak 60 keluarga terakhir telah keluar dari PPS berkenaan pada hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang telah dipindahkan mencecah 613 keluarga sejak insiden berlaku pada 1 April lalu.

“Alhamdulillah, hari ini kita menutup secara rasmi PPS di Dewan Camellia dan Dewan Masjid Putra Heights selepas semua mangsa telah memperoleh kediaman sementara atau tetap,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Putra Heights hari ini.

Menurutnya, sejak Khamis lalu, kesemua mangsa telah dimaklumkan untuk merancang perpindahan keluar secara berperingkat, termasuk mereka yang memilih untuk kembali ke rumah sendiri, menumpang di rumah saudara atau menerima bantuan kerajaan negeri berupa penempatan sementara.

“Mereka ditempatkan di pelbagai fasiliti seperti homestay (inap desa), Airbnb serta hotel yang ditaja oleh pihak Parlimen.

“Sementara itu, bagi tempoh satu bulan pertama, kerajaan negeri menanggung kos sewaan rumah serta menyediakan bantuan asas seperti beras, minyak dan keperluan dapur,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan, sokongan dan doa yang berterusan kepada mangsa tragedi.

“Saya mewakili semua petugas dan agensi yang terlibat mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT dan rakyat Malaysia atas segala bentuk bantuan,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan operasi ini merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi penyelamat, pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI