SUNGAI PETANI – Impian empat keluarga nelayan untuk memiliki kediaman sendiri terlaksana apabila menerima geran tanah berserta rumah di penempatan nelayan Tanjung Dawai, dekat sini hari ini.
Penerima, Jamaliah Ahmad, 63, berkata, dia berasa gembira dan bersyukur kerana penantian selama lebih 40 tahun berakhir apabila dimaklumkan sudah layak menerima geran tanah dan rumah peninggalan arwah suaminya, Abdullah Daud.
“Alhamdullilah, sebelum ini rumah ini dibiayai oleh suami saya dengan hasil titik peluh dia sebagai nelayan dengan kadar bayaran sebanyak RM50 sebulan.
“Selepas suami meninggal saya ada kesulitan sikit nak bayar sebab tak ada pendapatan sendiri, namun saya usaha juga berniaga makanan kecil-kecilan untuk selesaikan bayaran bulanan sehingga berjaya dapat geran hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah berserta Rumah kepada peserta Konsep Unit Keluarga (KUK) di kawasan perumahan tersebut, hari ini.
Seorang lagi penerima, Mohd Abdul Rashid, 78, berkata, dia bersyukur kerana dia akhirnya dapat memiliki rumah dan tanah sendiri.
“Ingat dulu-dulu susah pendapatan nelayan pula tidak menentu, nak bayar bulanan RM50 sebulan pun kadang-kadang terlepas juga.
“Syukur setelah lebih 40 tahun, rumah ini akhirnya jadi hak milik kekal kami sekeluarga, dulu nilai rumah ini dalam RM14,000 sahaja sekarang kalau dinilaikan semula sudah cecah RM200,000 sekali tanah. Terima kasih sangat kepada kerajaan dan LKIM kerana telah wujudkan insentif ini kepada keluarga nelayan seperti kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE