JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan pemandu kereta BMW yang merempuh seorang penghantar makanan sehingga maut memandu dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, lelaki berusia 25 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku pada pukul 2.10 pagi itu ketika pengguna jalan raya iaitu seorang penghantar makanan, Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, cuba membantu kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Taman Desa Jaya di sini.
“Polis mengesahkan menerima laporan kemalangan membabitkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang menunggang motosikal jenis SYM BX110 yang terbabas sendiri.
“Mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Taman Setia Tropika dipercayai terbabas sendiri dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pada masa yang sama, seorang lelaki tempatan berusia 37 memberi bantuan menjaga penunggang motosikal terbabit daripada lalu lintas sebelum bantuan sampai,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, sebuah kereta BMW yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun warga tempatan telah melanggar lelaki yang sedang membantu mangsa kemalangan.
Katanya, akibat daripada rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan disahkan meninggal dunja di tempat kejadian.
Tambah beliau, pemandu BMW tersebut ditahan dan hasil ujian pernafasan mendapati lelaki tersebut memandu dibawah pengaruh alkohol.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE