JOHOR BAHRU – Niat baik seorang penghantar makanan membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh pemandu kereta mewah jenis BMW disyaki mabuk di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran stesen minyak di Taman Desa Jaya, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2 pagi itu, mangsa, Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Menurut isteri mangsa, Suhaidah Yusof, 40, sebelum kejadian, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah di Bakar Batu di sini selepas keluar makan bersama rakan-rakan lelaki itu.
“Kami keluar makan di sebuah restoran di Desa Cemerlang bersama rakan-rakan arwah suami. Ketika memandu kereta saya ternampak serpihan motosikal (terbabit) kemalangan, jadi saya berhenti di tepi jalan, manakala suami keluar tolong (mangsa).
“Semasa kejadian orang ramai memberhentikan kereta untuk melihat kemalangan dan bantu kawal lalu lintas.
”Tidak lama kemudian saya dengar bunyi dentuman semasa berada di dalam kereta. Kemudian ada orang datang beritahu suami saya terbaring dilanggar kereta,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Difahamkan, pemandu kereta BMW tersebut dikatakan cuba melarikan diri selepas berlaku kemalangan, namun berjaya ditahan kira-kira 800 meter oleh orang awam yang mengejar kenderaannya.
Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Suhaidah yang juga kerani syarikat swasta berkata, selepas mengetahui kemalangan menimpa suaminya, dia segera menghubungi adik iparnya bagi memaklumkan insiden yang berlaku.
Wanita itu mengakui dia masih terkejut dan trauma kehilangan suami tercinta lebih-lebih lagi dalam suasana Aidilfitri.
“Kami baru mendirikan rumah tangga. Saya dan arwah suami saling mengenali sejak dua tahun lalu dan berkahwin September lepas.
“Kenangan indah bersama arwah suami ketika hari raya, kami beraya bersama keluarga kerana memandangkan ini kali pertama bergelar suami isteri.
“Kami juga sempat merakam gambar ‘photo shoot’ sempena Hari Raya Aidilfitri lalu,”katanya.

Wanita itu reda dengan ketentuan Ilahi apatah lagi mereka masih lagi dalam fasa berbulan madu kerana baru tujuh bulan membina mahligai cinta.
Katanya, tiada perubahan pelik dikesan, namun pada malam Jumaat lalu, arwah suaminya terbaring di luar rumah selain banyak termenung.
“Malam Jumaat lalu, dia cakap badan panas dan pening kepala. Dia kerap terbaring dan berdiam diri tidak banyak cakap.
“Malam semalam (Sabtu) keluar ronda dan makan bersama kawan-kawan dia (arwah suami) cakap hilang dah sakit kepala,” katanya.-KOSMO! ONLINE