SEPANG- Sebanyak 15 buah kenderaan mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan akibat masalah brek di susur Tol Serenia menghala ke Cyberjaya di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, lori dipandu lelaki dari arah Nilai menghala ke Cyberjaya itu dikatakan mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan dan merempuh kesemua kenderaan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G. Shan Gopal berkata, kenderaan berat itu merempuh 15 buah kenderaan yang berada di kiri dan kanan jalan ketika menunggu giliran keluar dari susur menghala ke Cyberjaya.
Beliau berkata, semua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Sepang atau Inspektor Muhamad Haziq Ab Karim di talian 017-9076260.
Kemalangan petang semalam itu turut menyebabkan kesesakan teruk berhampiran susur keluar Tol Serenia arah Cyberjaya. – KOSMO! ONLINE