PUTRAJAYA – Lebih 20,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Lebaran Kasih Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria, di sini malam ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang tiba kira-kira pukul 7.57 malam dan disambut Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak daripada Pusat Jagaan Anak-Anak Insan Al Rahmat Hikmah, Ampang, Selangor.
Pengunjung yang hadir disajikan pelbagai hidangan termasuk sate, martabak, soto ayam, cendol, char kuetiau, apam balik dan beberapa menu lain.
Majlis yang akan berlangsung dari jam 8 hingga 11 malam itu juga bertujuan mengukuhkan lagi semangat ukhuwah dan kasih sayang sesama insan.
Ia juga dimeriahkan dengan kehadiran artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Hael Husaini, Nadeera Azmi, Wany Hasrita, Ara Johari, Fauziah Gambus serta Junainah M Amin, selain Atu dan Ustaz Afad Raihan.
Sebagai kemudahan untuk tetamu menghadiri majlis itu, perkhidmatan bas pengantara percuma turut disediakan untuk ke Sri Satria. – KOSMO! ONLINE